facebook log 32twitter log 32hp

malaya
Tukar Tulisan Merah Tukar Tulisan Hitam Tukar Tulisan Hijau   Tukar Latarbelakang Merah Jambu Tukar Latarbelakang Hijau Muda

RINGKASAN EKSEKUTIF

RANCANGAN PENGURUSAN HUTAN NEGERI MELAKA TAHUN 2016-2025

Pendahuluan

Rancangan Pengurusan Hutan (RPH) ini disediakan adalah sebagai panduan asas ke arah membangun dan menguruskan sumber hutan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Negeri Melaka bagi tempoh 10 tahun bermula pada tahun 2016 hingga 2025. Program RPH ini mengambil kira pelbagai aspek pemeliharaan alam sekitar, kepelbagaian biologi, eko-pelancongan serta biologi dan kualiti air dan kepentingan sosio-ekonomi negeri dalam sektor perhutanan.

Matlamat dan objektif

Matlamat dan objektif Rancangan Pengurusan Hutan (RPH) Negeri Melaka direkabentuk secara komprehensif bagi tempoh 10 tahun (2016-2025) berdasarkan pencapaian RPH terdahulu (2001-2010). Penyediaan laporan ini juga akan menerangkan secara terperinci mengenai perancangan program, projek dan aktiviti pengurusan hutan yang akan digunakan sebagai panduan asas oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Melaka (JPNM) di dalam pengurusan dan pentadbiran sumber hutan negeri. RPH (2016-2025) menggariskan objektif mengikut keutamaan berikut:

  1. Untuk mengurus sumber hutan negeri secara berkekalan bagi pengeluaran berterusan hasil dan perkhidmatan hutan serta penggunaannya secara optimum bersesuaian dengan keperluan alam sekitar.
  2. Untuk terus membangunkan teknologi dalam kepelbagaian hayat hutan, air dan tanah serta penggunaannya secara berkekalan.
  3. Untuk membangunkan perhutanan masyarakat bagi memberi kemudahan dan faedah kepada masyarakat dengan konsep kepelbagaian sumber hutan bagi memastikan faedah yang maksimum diperolehi dari HSK.
  4. Untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan kilang-kilang pemprosesan berasaskan keluaran hasil hutan serta menambah aktiviti-aktiviti hiliran dengan nilai tambah yang tinggi.
  5. Untuk memperkukuhkan pembangunan sumber manusia bagi menyokong sektor perhutanan.
  6. Untuk meningkatkan kesedaran awam berhubung peranan hutan terhadap alam sekitar, manusia dam pemuliharaan melaui aktiviti pendidikan dan pengembangan.
  7. Untuk meningkatkan sumbangan sektor perhutanan kepada pendapatan negara, pertukaran wang asing dan peluang pekerjaan

Data Dan Maklumat Asas

Jumlah keluasan Negeri Melaka ialah 166,310.81 ha di mana 4.4% adalah kawasan berhutan. Keluasan HSK pada tahun 2015 adalah seluas 5,137.54 ha terdiri daripada lapan (8) buah HSK iaitu Hutan Simpan Tanjung Tuan, Hutan Simpan Linggi, Hutan Simpan Sungai Udang, Hutan Simpan Bukit Beruang, Hutan Simpan Bukit Sedanan, Hutan Simpan Bukit Senggeh, Hutan Simpan Batang Melaka, dan Hutan Simpan Merlimau. Daripada keluasan HSK, 5,001.62 ha (97.4%) merupakan Hutan Darat dan 135.92 ha (2.6%) adalah Hutan Paya Laut.

HSK memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan kestabilan alam sekitar dan perlindungan kepada kepelbagaian hayat. Selain itu, ia juga berperanan sebagai punca utama untuk pertanian, industri dan kegunaan domestik. Dari segi sosio-ekonomi, HSK menyumbang kepada bekalan bahan kayu mentah untuk industri berasas kayu, mewujudkan peluang pekerjaan, hasil kepada kerajaan negeri dan juga bagi memenuhi keperluan masyarakat umum seperti tempat rekreasi dan pelancongan.

Strategi Pelaksanaan RPH

Antara strategi utama dalam melaksanakan RPH pada kali ini adalah dengan memberi penumpuan kepada pembangunan konsep eko-pelancongan. Initipati bagi pendekatan konsep eko-pelancongan adalah selari dengan program Perhutanan Masyarakat yang kerap dilakukan oleh Jabatan Perhutanan dan selari dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). Antara inisiatif dalam intipati NBOS 6, iaitu mewujudkan Pusat Transformasi Bandar dengan slogan “Satu Pusat Pelbagai Perkhidmatan” selari dengan matlamat JPNM untuk menjadikan HSK sebagai pusat pendidikan, pengembangan dan penyelidikan kerana setiap HSK di seluruh Negeri Melaka mempunyai keunikan tersendiri dari segi kekayaan biodiversiti.

Program Perhutanan Masyarakat memberi penekanan kepada konsep kepelbagaian sumber hutan bagi memastikan faedah yang maksimum diperolehi daripada kawasan HSK yang berhampiran atau yang sesuai digunakan oleh penduduk  setempat untuk keperluan sosial serta pembelajaran. Dalam tempoh RPH ini, tumpuan diberi kepada pembangunan kawasan rekreasi, pendidikan hutan, penghijauan kawasan bandar dan meningkatkan kepelbagaian spesies pokok hutan melalui merangsang galakan komuniti. Kejayaan bagi pelaksanaan NBOS, mampu untuk merangsang pertumbuhan yang pesat dan lestari di Malaysia serta mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi dan harmoni. Ini menjelaskan bahawa, konsep eko-pelancongan adalah permulaan kerana ianya dilihat mampu untuk mengembangkan kepada subset pelancongan kepada konsep yang lebih terperinci.

Pembangunan konsep Pelancongan Cabaran (Adventure Tourism) berdasarkan kekuatan sumber kawasan HSK adalah satu kelebihan kepada pihak JPNM untuk memperkenalkan konsep pelancongan tersebut. Kelebihan dari segi kemudahsampaian dan infratsruktur seperti jalan raya adalah peluang untuk penjanaan pendapatan kepada JPNM dan Kerajaan Negeri Melaka.

Penyediaan tenaga kerja dan pegawai yang mahir dan terlatih dalam bidang perhutanan dan eko-pelancongan di peringkat jabatan perlu dibangunkan bersama. Latihan yang komprehensif kepada staf JPNM bagi mengembangkan kemahiran dalam aspek perkhidmatan komuniti (interaksi sosial) amat disarankan untuk merpatkan masyarakat sekeliling dengan pihak JPNM. Ini bagi memastikan segala perancangan yang akan dibuat salurkan dengan pantas dan mudah. Ini amat penting bagi memastikan kejayaan sesuatu projek yang hendak dilaksanakan.

Pengawalan secara sistematik, berkala dan berkesan akan dilaksanakan sepanjang tempoh RPH ini ke atas semua aktivti yang dirancang. Pemantauan dan penilaian dilakukan dengan menggunakan pendekatan berasaskan kepada piawaian MC&I (2002) dan MS ISO 9001:2008 JPSM.

Rumusan

Kajian semula RPH ini akan dilakukan dalam tempoh 10 tahun selepas dilaksanakan dengan tujuan untuk menilai prestasi dan kemajuan kerja dari segi kewangan dan fizikal serta mengenalpasti masalah yang timbul semasa pelaksanaan di lapangan. Penyediaan RPH ini adalah bagi memastikan JPNM akan dapat melaksanakan pengurusan yang lebih sistematik dan berkesan untuk kelestarian sumber hutan di Negeri Melaka. Kajian semula RPH ini juga perlu dijalankan dari semasa ke semasa dengan mengambilkira keperluan dan kehendak terkini terhadap kelestarian sumber hutan Negeri Melaka.

Kepentingan menyediakan RPH ini juga adalah sebagai asas rujukan bagi meningkatkan lagi keberkesanan pengurusan secara sistematik melalui pelaksanaan tindakan strategik dan aktivti mengikut tempoh masa yang akan dirangka. Secara tidak langsung, ianya dapat menjamin keberkekalan kepelbagaian biologi dan perkhidmatan hutan yang bermutu dan memounyai nilai tambah yang selari dengan keperluan dan konsep Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).

Home ABOUT US MC&I FOREST MANAGEMENT PLAN EXECUTIVE SUMMARY