Tanjung Tuan, 8 April 2017 – Program Tanggungjawab Sosial Korporat Kolej Profesional Mara (KPM) Bandar Melaka Sempena Hari Bumi 2017 telah diadakan di Taman Eko Rimba Tanjung Tuan yang sebelum ini dikenali sebagai Hutan Lipur Tanjung Tuan. Program ini dianjurkan oleh Kolej Profesional Mara (KPM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Melaka dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Negeri Melaka (PERHILITAN). Tujuan program ini diadakan ialah bagi menyambut Hari Bumi Tahun 2017 Peringkat Negeri Melaka. Program ini melibatkan pelajar-pelajar KPM seramai empat puluh (40) orang, tenaga pengajar dan urusetia KPM seramai sepuluh (10) orang, urusetia Jabatan Perhutana Negeri Melaka seramai sepuluh (10)orang dan beberapa orang peserta dari Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhilitan Negeri Melaka. Acara dimulakan dengan aktiviti penanaman pokok bakau sebanyak dua ratus (200) pokok oleh para peserta dan taklimat oleh pihak Jabatan. Seterusnya lawatan ke Bilik Interpratif Hidupan Liar oleh wakil Jabatan Perhilitan Negeri Melaka sebagai acara akhir bagi program sesi pagi. Sesi petang diteruskan dengan gotong royong membersihkan kawasan pantai dan jungle trekking serta program memerhati burung pemangsa (Raptor Watch). Program ini diakhiri dengan taklimat dan demonstrasi persampelan air oleh pihak Jabatan Alam Sekitar.