twitter-icon-alt-twitter-icon-15 facebook log 32
Tukar Tulisan Merah Tukar Tulisan Hitam Tukar Tulisan Hijau   Tukar Latarbelakang Merah Jambu Tukar Latarbelakang Hijau Muda

Perutusan Pengarah

 

Bismillahir-Rahmannir-Rahim,

Selawat dan Salam Ke Atas Nabi Muhammad SAW.,

AssalamualaikumWarahmatullahi-wabarakatuh,

Salam Sejahtera.

 

Alhamdullillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan rahmatNya kita masih diberikan ruang bagi melangkah ke Tahun 2021. Sehubungan itu, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru 2021 kepada seluruh warga Jabatan Perhutanan Negeri Melaka (JPNM)  dan harapan serta doa agar Tahun 2021 akan membawa sinar kejayaan yang lebih cemerlang kepada JPNM serta sektor perhutanan di negeri Melaka dan negara amnya. Dikesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja JPNM yang telah memberi komitmen dan kerjasama sepanjang tahun 2020.

Tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar kepada seluruh dunia termasuk Jabatan Perhutanan Negeri Melaka. Awal tahun 2020, kita telah dikejutkan dengan penularan Wabak Covid-19 yang menjejaskan perancangan dan pengurusan projek jabatan dengan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020. Kemudian diteruskan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sehingga 31 Disember 2020. Walau bagaimanapun, pencapaian prestasi Jabatan bagi tahun 2020 amat membanggakan walaupun menghadapi kekangan penularan wabak Covid-19.

Semoga permulaan tahun baru 2021, saya juga ingin mengingatkan diri saya dan semua warga kerja JPNM mengambil peluang ini untuk terus berkhidmat dengan cemerlang dan berintegriti ke arah menjadikan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka sebagai sebuah agensi yang terunggul dalam pengurusan hutan tropika secara berkekalan.

Selaras dengan Program Penghijauan Malaysia Melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bagi RMKe-12, Jabatan telah merangka pelbagai aktiviti ke arah menghijaukan kawasan di negeri Melaka melalui program penghijauan dengan melaksanakan program tanaman 6,000 pokok setahun. Selain itu, bagi meningkatkan pemahaman orang ramai tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, JPNM telah merangka pelbagai aktiviti dan kempen penanaman pokok, kempen kesedaran dan pameran perhutanan.

Selain itu selaras dengan slogan negeri Melaka iaitu “Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia”, Jabatan ini akan memberikan penekanan kepada kecekapan dan keberkesanan mutu perkhidmatan yang lebih baik terutama di kawasan Taman Eko-Rimba dan Hutan Taman Negeri di dalam Hutan Simpanan Kekal negeri Melaka. Kawasan tersebut akan dibuat penyelenggaran yang sewajarnya bagi memudahkan orang awam dan pelancong berkunjung di samping melakukan aktiviti rekreasi dan riadah. Aktiviti ini berupaya memberi jaminan kepada peningkatan industri pelancongan, ekonomi  dan kesejahteraan rakyat secara amnya.

Dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0, sektor perhutanan di negeri Melaka akan menekankan aspek pemantauan penguatkuasaan yang dijalankan melalui Sistem Pemantauan Hutan Menggunakan Remote Sensing (FMRS) Plus, Sistem e-Geospatial Perhutanan (e-GP) di samping secara rondaan dan pemantauan udara melalui penggunaan drone.

Tahun 2021 merupakan tahun yang lebih mencabar jika dilihat daripada situasi sekarang ini. Saya berharap agar komitmen yang ditunjukkan dan momentum kejayaan tahun 2020 yang dilakarkan bersama ini diteruskan dan ditambah baik pada tahun ini. Perancangan dan strategi yang teliti dijangka akan membuahkan hasil yang optimum kepada Jabatan dan Negeri Melaka. Justeru, kerjasama semua warga kerja Jabatan ini amatlah dituntut bagi merealisasikan segala perancangan dan strategi yang telah diatur. 

Akhir kata, didoakan semoga semua pegawai dan warga kerja Jabatan dapat meningkatkan komitmen di dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Jabatan dalam mengurus dan membangunkan sumber hutan negeri ini secara mampan.

 

Selamat Tahun Baru 2021.

Wabillahi-taufik-walhidayah.

Wassalamualaikum-Warahmatullahi-Wabarakatuh.

 

Sekian, terima kasih.

 

ENCIK KHAIRUN NIZAM BIN ABDUL RAHIM

Pengarah Perhutanan Negeri Melaka.

 

Laman Utama TENTANG KAMI PERUTUSAN PENGARAH